Amirudin menghidu sampel air sungai yang tercemar dengan bahan kimia, punca LRA Sungai Selangor terpaksa dihentikan.
KUALA LUMPUR – Rakyat sudah tidak larat hendak melihat gambar-gambar Menteri Besar (Selangor) menghidu air atau dengar alasan “ini mungkin sabotaj” atau kilang mana yang cemarkan sungai.
Sebaliknya, rakyat mahu mendengar dan melihat rancangan Air Selangor untuk memastikan bekalan air tidak lagi terputus akibat pencemaran air pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) perlu membina lebih banyak Kolam Takungan Hiliran (Off River Storage – ORS) dekat dengan loji-loji rawatan air yang boleh digunakan jika berlaku pencemaran air.
ORS itu boleh digunakan ntuk membekalkan air kepada loji bagi tempoh beberapa hari sahaja ketika air dari sungai tercemar.
”Jangan tiap-tiap kali sungai tercemar, tiap-tiap kali bekalan air terganggu,” katanya sambil menyatakan melaksanakan dan mempercepatkan projek-projek ORS ini dalam tempoh krisis Covid-19 boleh mewujudkan peluang pekerjaan baru di samping mengambil kesempatan kos pembinaan yang lebih rendah.
Selepas air sungai tidak tercemar, ORS ini boleh diisikan semula.
Najib berkata, Selangor mengalami 18 kali gangguan bekalan air sejak Mac lalu, sekali gus sehingga kini memberi peluang kepada MB untuk hidu air sebanyak 18 kali.
”CEO Air Selangor selamba sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette