SHAH ALAM – Gangguan bekalan air tidak berjadual yang sepatutnya berakhir 24 jam lalu nampaknya masih tiada kesudahannya bahkan terdapat banyak kawasan terjejas membabitkan hampir 1.2 juta juta penduduk di Lembah Klang.

Walaupun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sentiasa memaklumkan situasi semasa gangguan bekalan air tidak berjadual, namun Wilayah Klang/ Shah Alam antara dua kawasan rendah peratus pemulihannya, iaitu di bawah 21 peratus sehingga jam 6.30 petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette setakat jam 10 malam ini mendapati, lori tangki milik Air Selangor masih kelihatan keluar dan masuk dari kawasan pili awam berhadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 4, di sini.

Sebuah lori tangki milik Air Selangor sedang mengisi bekalan air bersih di pili awam berdekatan Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4, Shah Alam, Selangor.

Bukan sahaja orang ramai boleh mengambil air di sini, bahkan agihan bekalan air bersih juga dilakukan kepada lori-lori tangki kecil sebelum diagihkan ke kawasan perumahan bertingkat termasuk pangsapuri dan apartmen yang masih terjejas setakat ini.

Lokasi sama pernah digunakan Air Selangor untuk mengagihkan bekalan air bersih ketika Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang, 4 September lalu.

Dimaklumkan, pili-pili awam seperti di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini juga akan terus beroperasi dalam beberapa hari lagi kerana terdapat banyak perumahan pangsapuri milik PKNS masih terjejas teruk.

Antara lokasi tumpuan lori-lori tangki Air Selangor ialah pangsapuri Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 9, Seksyen 16, Seksyen 20, Seksyen 21, Seksyen 24 dan Sekysen 25. – MalaysiaGazette