Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – ‘Ada yang lari kerana enggan dibawa ke hospital selepas disahkan positif Covid-19.”

Itu kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menggambarkan antara cabaran yang dihadapi pasukan petugas barisan hadapan ketika membuat saringan dan membawa pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Sabah.

Jelasnya, kurang pendidikan, pengetahuan, kefahaman serta kesedaran terhadap pandemik berkenaan oleh penduduk Sabah merupakan cabaran yang perlu dihadapi mereka.

Petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), ujarnya juga berhadapan dengan cabaran keselamatan apabila insiden sebegini berlaku terutama melibatkan penduduk yang tinggal di kampung-kampung air.

“Mereka kurang pemahaman berbanding penduduk di Semenanjung. Kami berdepan isu apabila mahu menghantar mereka yang tidak bergejala tetapi didapati positif ke hospital.

“Kami juga melihat kepada isu keselamatan contohnya di kampung air. Mereka enggan ke hospital kerana tidak bergejala atau menunjukkan kurang bergejala,” tambahnya semasa sidang media hari ini.

Justeru Noor Hisham berkata, KKM perlu bekerjasama dengan pasukan polis dan tentera demi memastikan tugas membawa pesakit positif Covid-19 ke hospital dan saringan bersasar dapat dilaksanakan.- MalaysiaGazette