Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan selepas Julai tahun depan.

Waktu itu adalah tempoh terbaik kerana seiring dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik dan penguatkuasaan umur mengundi 18 tahun yang dijangka diguna pakai selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.

Ini bagi memberi peluang kepada hampir tujuh juta anak muda, terutama yang pengundi 18 tahun terbabit secara langsung dalam proses memilih kerajaan, kata Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli.

Sementara menunggu tempoh itu, PKPIM menasihati semua parti politik mengambil iktibar trend peningkatan kes positif Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

”Orang politik terutama pemerintah wajar bersikap rasional dan meletakkan kesejahteraan rakyat Malaysia sebagai keutamaan. Sebarang usaha atau desakan orang politik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secara mengejut wajar ditolak,” katanya.

Dalam suasana kekangan ekonomi, PKPIM juga menggesa perbelanjaan pada waktu krisis wajar difokuskan untuk membangun sektor ekonomi dan kebajikan rakyat bukannya dibelanjakan untuk PRU yang pasti akan memerlukan suatu belanja yang besar.

Sesungguhnya kepentingan negara dan rakyat adalah lebih besar dan utama melebihi kepentingan parti politik dan orang politik, kata beliau. – MalaysiaGazette