Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, mulai Khamis, 22 Oktober 2020 hingga dimaklumkan kelak berikutan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan bekerja dari rumah di negeri-negeri berkenaan.

Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke semua pejabat dan kaunter KWSP di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan akan dibatalkan serta merta.

Ahli yang telah membuat janji temu di semua pejabat di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.

Namun, ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.

KWSP berkata, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet, kaunter ejen bank berdaftar dan melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP.

Ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja. – MalaysiaGazette