Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

ALOR SETAR – Pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Iman (SADA) baru-baru ini dibuat oleh Jawatankuasa Perolehan Aset syarikat berkenaan secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membuat penjelasan itu berkata beliau difahamkan pembelian kenderaan itu adalah bagi kegunaan ramai (pool), dalam kalangan ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan SADA.

“Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merujuk beberapa informasi yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas mengenai pembelian kenderaan berkenaan, yang dikaitkan dengan beliau sebagai Pengerusi SADA.

Semalam beberapa media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah mengunjungi Ibu Pejabat SADA, di sini bagi meneliti dokumen pembelian kenderaan itu yang dikatakan dibeli pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi.

Muhammad Sanusi berkata beliau juga akan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa pemimpin politik yang mengaitkan dirinya dengan pembelian kenderaan berkenaan, antaranya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh.

“Saya telah lantik beberapa peguam untuk mengendalikan kes saman fitnah ini. Saya lihat ada beberapa tulisan dan live Facebook dibuat pemimpin pembangkang bertaraf ‘ikan jerung’ dan ‘ikan bilis’ yang mengaitkan saya dengan pembelian Vellfire ini. Kes akan difailkan di mahkamah pada minggu depan,” katanya.

Katanya individu atau mana-mana ‘cybertroopers’ yang dikesan membuat kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu itu, terutamanya yang dimuat naik ke laman sosial juga akan turut dijejak dan diheret ke mahkamah sebagai defendan nanti.- BERNAMA

3 Komen

  1. Bila la nak berubah attitude anak syarikat negeri. Berbelanja mcm kaut untung juta juta. Baik pakai duit tu utk atasi masalah air takda di area Merbok nuh. Nak bg lembaga pengarah naik keta baru pun, beli saja Saga atau Persona baru. Cukup dah aih. Kedah kecik saja, xperlu ronda naik keta mewah supaya selesa jalan aih.

Comments are closed.