Kugan a/l Muniandy, lelaki yang sedang dicari oleh polis berhubung kes menyerang dan memeras seorang penuntut IPT swasta.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki direman selama empat hari sehingga 24 Oktober untuk siasatan selepas mencederakan seorang pelajar asing institut pengajian tinggi swasta di sebuah kondominium baru-baru ini.

Tangkapan itu dibuat selepas seorang pelajar mendakwa telah didatangi tiga lelaki di kawasan tempat letak kereta pada 6 Oktober lalu, pada jam 8.45 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, salah seorang suspek telah menarik pelajar berkenaan dalam sebuah kereta dan memukulnya di bahagian muka dengan objek menyerupai sepucuk pistol dan meminta wang tunai sebanyak RM10,000 dalam tempoh sebulan sekiranya tidak mahu diculik.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian atas kening kanan dan kiri, bawah mata kanan dan di bahagian hidung.

Berdasarkan maklumat laporan itu, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah kondominium di Kota Damansara dan menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dua telefon bimbit, sebuah kenderaan yang digunakan semasa kejadian dan lain-lain barangan.

Soal siasat ke atas suspek yang tidak pernah memiliki rekod jenayah ini membawa kepada tangkapan warga tempatan di sebuah kediaman di Puchong, pada jam 2.10 pagi.

Polis merampas sebuah telefon bimbit, sebotol semburan pemedih mata, sebatang T-baton daripada suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua mereka direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksten 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan menggunakan senjata dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 324, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Manakala sabit kesalahan di bawah Seksyen 385, pesalah boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara atau dengan denda atau disebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Nik Ezanee berkata, pihaknya masih mengesan seorang lelaki warga tempatan yang masih bebas.

Suspek berkenaan bernama Kugan a/l Muniandy atau dikenali sebagai Sivam, 43, dengan alamat terakhirnya di No, 49, Jalan TJ 3/15, Seksyen 3, Taman Kinrara, Batu 8, Puchong.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 018-574 4233 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette