Paparan jumlah kes keseluruhan ketika sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Gelombang ketiga pendemik Covid-19 masih lagi kuat melanda negara ini apabila 847 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Sabah masih lagi mencatatkan kes tertinggi apabila 578 direkodkan berlaku di negeri itu.

“Daripada 847 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan di Selangor yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara iaitu dari negara India (4 kes) dan Amerika Syarikat (1 kes),” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Bagaimanapun, kes sembuh juga tinggi dengan 486 kes sembuh direkodkan hari ini.

Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 250 kes; Selangor (109 kes); Kedah (67 kes); Pulau Pinang (30 kes); Perak (13 kes); Johor (9 kes); Sarawak (6 kes); dan Terengganu (2 kes).

Menurut Dr Noor Hisham terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid -19 menjadikan di Malaysia adalah sebanyak 204 kes.

Empat kematian direkodkan di Sabah melibatkan pesakit berusia 64 tahun hingga 88 tahun sementara satu kematian lagi direkodkan di Kedah melibatkan pesakit berusia 67 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.