Lapan suspek termasuk dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan diiring anggota polis ke mahkamah sesyen untuk ditahan reman atas pertuduhan menyebabkan pencemaran air Sungai Gong di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Lapan suspek termasuk dua daripadanya mempunyai hubungan anak dan bapa di tahan reman tujuh hari berkuatkuasa hari ini sehingga 28 Oktober depan kerana dipercayai terbabit dalam kes pencemaran air di Sungai Gong, Rawang.

Suspek anak dan bapa berjawatan pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan manakala enam lagi suspek pula dipercayai pekerja syarikat tersebut.

Pada 19 Oktober lalu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) jam 12.38 pagi mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor sebelum membuat laporan polis. 

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan ke atas semua suspek yang berumur antara 28 sehingga 66 tahun oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Setakat ini suspek diwakili dua orang peguam.

Daripada enam pekerja syarikat itu, dua daripadanya adalah warga tempatan manakala empat lagi warganegara asing dari Nepal, Pakistan Myanmar.

Kesemua suspek yang tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki trak polis  memakai baju lokap berwarna oren dan ungu juga kelihatan sugul serta sesekali cuba menutup muka.

Artikel berkaitan: Pemilik, pekerja syarikat jentera disyaki cemar Sungai Gong ditahan

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mendedahkan polis menahan seorang lelaki berusia 62 tahun dan anak lelakinya yang juga pengarah sebuah syarikat berusia 31 tahun di Rawang.

Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Susulan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

“Pada jam 2 pagi, beberapa LRA yang lain turut terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

“Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette