Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai gencatan politik adalah keputusan Presiden UMNO itu sendiri selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Katanya, Presiden serta UMNO memahami keutamaan adalah rakyat terutamanya dalam perkara yang melibatkan nyawa dan kesihatan.
Sambil menyifatkan keputusan Zahid itu tepat, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sebenarnya negara sudah berada dalam keadaan darurat politik, darurat kesihatan dan darurat ekonomi.
“Apa ikhtiar kita utk menyelamat ini semua? Justeru tindakan Presiden UMNO adalah tepat. Rakyat dan negara didahulukan, bukannya politik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pagi ini.
Beliau mengulas dakwaan kononnya Zahid membuat keputusan tersebut selepas diasak oleh beberapa pemimpin UMNO di peringkat negeri dalam satu mesyuarat semalam.
Dakwaan tersebut juga menyebut mesyuarat tersebut berlangsung selama empat jam antara lain berkaitan ‘surat Zahid kepada Istana” yang telah pun dinafikan oleh pejabat presiden UMNO itu.
Annuar berkata, kerajaan juga harus berani mencari ikhtiar secara bukan konvensional tetapi sebaliknya berfikir secara norma baru dan di luar kotak dalam mendahulukan rakyat serta menyelamatkan negara.
Kata Setiausaha Agung Barisan Nasional itu, mengganggu kestabilan negara perkara paling mudah dan tindakan mahu menukar perdana menteri tidak akan mampu menghapuskan virus Covid-19.
Malah, katanya, pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat malah boleh memporak-perandakan lagi negara.
Menurut beliau, situasi yang dialami oleh Malaysia dan dunia sekarang adalah luar biasa yang memerlukan pelbagai pendekatan.
“Situasi kita ini luar biasa.Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri,” katanya.
Justeru, Annuar menegaskan bahawa kerajaan memerlukan kestabilan dan masa untuk menjayakan usaha membendung Covid-19.
Paling penting, katanya, kerajaan juga memerlukan bajet untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat persiapan untuk menggubal Prosedur Operasi Standard SOP baru yg komprehensif sebelum boleh diadakan pilihan raya umum.
Katanya, pilihan raya kecil seperti di Batu Sapi yang wajib diadakan sepatutnya ditiadakan sehingga keadaan semuanya terkawal.
“Semua mudharat yang jelas ini wajib dielakkan,” katanya.

Ahmad Zahid semalam menegaskan pendirian UMNO mengenai perlunya dilakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat masalah ekonomi.UMNO juga, kata beliau, menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendepani pandemik serta kegawatan ekonomi, dalam satu kenyataan hari ini.