LRA Sri Gading

KUALA LUMPUR – Dua buah loji rawatan air (LRA) yang dikendalikan oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd (Ranhill SAJ) menerima pensijilan Sistem Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) oleh badan pensijilan SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Pengiktirafan itu sekaligus menyakinkan pengguna bahawa kualiti air yang dibekalkan adalah memenuhi piawaian-piawaian yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sr. Nor Ifuan Md Nor berkata, loji tersebut adalah LRA Semangar dengan kapasiti 318 juta liter sehari dan beroperasi untuk kawasan Johor Bahru serta sebahagian Kota Tinggi manakala LRA Sri Gading yang berkapasiti 72.1 juta liter sehari beroperasi untuk sebahagian kawasan Batu Pahat.

Katanya, kedua-dua LRA terbabit memperoleh pensijilan HACCP sejak akhir tahun lalu setelah melalui proses penilaian berpandukan kepada kehendak-kehendak dan pematuhan kepada Good Manufacturing Practices (GMP) dan piawaian MS 1480.

 

Nor Ifuan Md Nor

“Ini adalah sebagai langkah permulaan untuk pensijilan yang sama bagi kesemua 44 LRA di negeri ini dan kita menjangkakan keseluruhan perlaksanaan menjelang akhir tahun ini” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Ifuan, dengan pensijilan HACCP ini, proses rawatan air oleh Ranhill SAJ sudah menerima pengiktirafan dalam usaha untuk mengawal dan meminimumkan risiko pencemaran kepada air terawat yang berkemungkinan berlaku di mana-mana titik proses merawat air bersih.

”Dengan cara begini, semua risiko ancaman kepada kesihatan pengguna dapat dikenal pasti dan dikawal pada peringkat awal.

”Selain daripada pensijilan HACCP, sebanyak lapan buah loji utama kendalian Ranhill SAJ juga sudah memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001) dan Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (ISO 45001),” jelasnya.

Tambah beliau, lima buah loji utama daripada jumlah itu juga sudah menerima pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga (ISO 50001).

Dengan pensijilan terbabit, keseluruhan proses merawat air mentah sehingga menjadi air terawat akan dikawal selia oleh SIRIM setiap tahun untuk memastikan air yang dibekalkan berada dalam keadaan baik dan mematuhi keperluan piawaian yang ditetapkan.

”Pengiktirafan HACCP di Ranhill SAJ ini adalah sejajar dengan pematuhan keperluan dan kehendak pensijilan MS 1480, MS 1514 Good Manufacturing Practices, Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan dan Akta Makanan 1983, oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

HACCP diwujudkan bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada industri yang mencapai dan mengamalkan elemen-elemen HACCP sekaligus memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna. – MalaysiaGazette