FDA meluluskan penggunaan ubat remdesivir bagi rawatan kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19. foto Reuters

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) telah memberi kelulusan penuh bagi penggunaan ubat remdesivir untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 di hospital.

Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) memaklumkan Veklury, nama jenama ubat itu, mengurangkan masa pemulihan secara purata sebanyak lima hari semasa ujian klinikal.

“Veklury adalah rawatan pertama untuk Covid-19 yang mendapat kelulusan FDA,” kata FDA dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memaklumkan penggunaan remdesivir hanya memberi kesan sedikit kepada pesakit.

Pandangan itu berdasarkan kajian WHO sendiri tetapi dapatan kajian itu dinafikan oleh Gilead yang merupakan pengeluar ubat tersebut.

Remdesivir telah dibenarkan untuk penggunaan kecemasan di AS sejak Mei.

Ubat berkenaan telah diberikan kepada Presiden Donald Trump selepas disahkan Covid-19 dan beliau pulih.

Dalam kenyataan itu, FDA mengatakan ubat berkenaan telah diluluskan pada hari Khamis “untuk digunakan pada pesakit dewasa dan pediatrik berusia 12 tahun ke atas dan beratnya sekurang-kurangnya 40 kilogram (kira-kira 88 paun) untuk rawatan Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital”.

“Persetujuan hari ini disokong oleh data daripada pelbagai ujian klinikal yang telah dinilai dengan teliti oleh badan tersebut,” kata Pesuruhjaya FDA Stephen Hahn.

Pengawal selia itu mengatakan keputusannya disokong oleh analisis data dari “tiga ujian klinikal secara rawak, terkawal yang merangkumi pesakit yang dirawat di hospital dengan Covid-19 tahap ringan hingga parah”

Salah satu kajian menunjukkan bahawa “masa median untuk pemulihan daripada Covid-19 adalah 10 hari untuk kumpulan Veklury berbanding 15 hari untuk kumpulan plasebo”.

Untuk ujian klinikal, WHO menguji kesan empat rawatan berpotensi – remdesivir adalah satu, tetapi mereka juga melihat ubat malaria hidroksiiklorokuin, ubat auto-imuninterferon dan gabungan ubat HIV – lopinavir dan ritonavir.

Dexamethasone, steroid kos rendah yang kini banyak digunakan pada pesakit Covid dalam rawatan intensif di United Kingdom, tidak termasuk dalam kajian ini.

Keempat-empat ubat itu diuji ke atas 11,266 pesakit dewasa secara keseluruhan, di 500 hospital di lebih daripada 30 negara yang berbeza-beza.

Hasilnya, menunjukkan tidak ada rawatan yang mempunyai kesan besar terhadap kematian atau jangka masa bagi rawatan di hospital, kata WHO. – MalaysiaGazette