Istana Negara.- Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) hari ini menggesa agar Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang esok menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memulakan proses darurat.

Dalam satu kenyataan, kumpulan yang menyokong bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia kerana negara kini berdepan kemelut politik yang dahsyat.

Malah kumpulan itu percaya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu mempunyai pertimbangan sendiri dalam menangani isu berkenaan.

“MUDA berharap kepada Majlis Raja-Raja melalui kebijaksanaan yang ada agar tidak mempersetujui saranan Perdana Menteri dan jemaah menterinya.

“Negara kita yang tercinta ini sedang berada di persimpangan sejarah yang amat curam beloknya,” kata parti yang belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu hari ini.

Dalam pada itu, MUDA berkata, pelaksanaan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu boleh menggugat amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Usaha ke arah darurat kerana ia menggugat amalan demokrasi berparlimen di Malaysia dan merugikan rakyat. Krisis kesihatan Covid-19 tidak memerlukan alasan untuk menggantung masalah parlimen oleh kerajaan.

“Hal ini kerana darurat akan menggunakan keburukan yang lebih besar kepada rakyat Malaysia,” kata kumpulan itu lagi.

Esok, sembilan Raja-raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia dijadualkan mengadakan pertemuan khas di Istana Negara.

Mesyuarat itu difahamkan bagi membincangkan mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.