Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kes baharu Covid-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan dan hari ini melepasi angka empat digit apabila sebanyak 1,228 kes direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Negeri Sabah terus mencatatkan peningkatan kes apabila 889 kes (72.4 peratus) dilaporkan iaitu yang tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Kuala Lumpur melaporkan 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dengan kes itu tiga daripadanya adalah warganegara manakala lapan lagi bukan warganegara.

“Tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia iaitu 221 kes,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes tersebut, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 25,742 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 8,966 kes.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 671 kes dilaporkan pulih daripada Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak itu iaitu 16,555 kes atau 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette