Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melihat salah satu barangan basah yang dijual sambil diiringi Ketua Eksekutif My Grocer@Wilayah, Abu Zaki Abu (kiri) ketika melawat Program Pasar Bergerak My Grocer@Wilayah di PPR Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Para pengusaha trak MyGrocer@Wilayah diingatkan supaya mempunyai jujur dalam menjalankan perniagaan dan tidak sesuka hati menaikkan harga jualan selain hanya menjual barang yang berkualiti.

Ini kerana jika perkara itu berlaku, usaha kerajaan untuk membantu mereka tidak akan berjaya malah program itu akan menemui kegagalan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, banyak program sudah dilaksanakan sebelum ini namun akhirnya ia menjadi seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’.

“Bila kita beri keistimewaan kepada operator-operator (pengusaha) dia kena jujurlah. Apa sahaja perkara kalau tidak ada kejujuran tidak jadi.

“Di depan dia ada teori macam-macam bila sampai masa, banyak barang tak berkualiti.

‘Jadi, kalau buat macam itu dia ‘bunuh’ diri sendiri juga. Kalau kita tak berikan yang berkualti dan konsep semurni yang mungkin maka hayat program ini tidak akan jadi lama..

“Kita sudah banyak lancar program. Habis macam ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sebab bila kebenaran tiada satu daripada puncanya tiada keikhlasan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program MyGrocer@Wilayah di PPR Kampung Baru ,Air Panas di hari ini.

Annuar berkata, jika diikutkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan pengusaha trak untuk menjalankan perniagaan seperti itu kerana ia sepatutnya memerlukan pengusaha untuk memohon lesen serta membayar sewa tapak dan sebagainya.

“Tapi kita kecualikan itu semua supaya program ini berjaya. Namun kalau bandaraya (DBKL) dah bagi pengecualian pengusaha tak amanah barang dinaikkan jadi lose-lose situation. Saya percaya itu takkan berlakulah,” ujarnya.

Sebanyak 178 kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat manfaat daripada Program MyGrocer@Wulayah yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui DBKL bagi mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40).

Program itu memperkenalkan konsep pasar bergerak yang menjual barangan dapur dan makanan asas harian yang segarm berkualiti serta murah secara terus ke kawasan perumahan yang dikenalpasti. – MalaysiaGazette