Dua kereta yang disamun berjaya ditemui polis selepas tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan samun berkumpulan di daerah Gombak, Sentul dan Hulu Selangor dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 22 tahun.

Kejayaan itu susulan serbuan polis di sebuah rumah di sekitar Jalan Kemunting Kampung Kenanga, Rawang selepas menerima aduan kecurian motor Yamaha 125ZR.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pengadu, seorang lelaki tempatan telah meletakkan motor itu dalam keadaan berkunci di rumahnya di Taman Sri Garing, Rawang, Selangor pada jam 7 malam pada 21 Oktober lalu tetapi didapati hilang pada keesokan harinya.

”Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Rawang telah membuat serbuan keatas sebuah rumah dan setibanya pasukan polis dihadapan rumah yang disyaki mendapati terdapat seorang lelaki tempatan sedang meleraikan komponen sebuah motokar jenis Honda Civic Ferio (EG8).

”Menyedari kehadiran anggota polis, suspek bertindak cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasil pemeriksaan disekitar kompaun rumah suspek telah menemui dua buah motokar iaitu Honda Civic Ferio (EG8) dan Toyota Corolla Altis.

Semakan mendapati Honda Civic yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dilaporkan hilang di Kepong.

Manakala Toyota Corolla Altis yang menggunakan nombor pendaftaran palsu terlibat dalam satu kes samun berkumpulan di Bukit Sentosa.

Hasil daripada maklumat, pasukan polis telah ke Taman Bersatu Rawang dan berjaya menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan semakan mendapati motosikal tersebut adalah motosikal yang dilaporkan hilang.

Siasatan mendapati suspek yang berjaya ditangkap itu terlibat dalam ketiga-tiga kes tersebut bersama dua rakan yang masih bebas.

Arifai berkata, usaha-usaha untuk mengesan suspek-suspek ini dan menyiasat penglibatan dalam kes-kes lain sedang giat dijalankan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai 23/10/2020 hingga 26/10/2020 untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette