Petugas Kementerian Kesihatan sedang melakukan tugasan memeriksa penghuni yang hadir untuk melakukan pemeriksaan saringan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah Flat Pelangi, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan Kaji Selidik Universiti UCSI mendapati tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Nasional (PN) dalam
mengendalikan isu Covid-19 agak tinggi dalam satu kaji selidik yang dijalankan minggu lalu.

Namun pengarahnya, Profesor Madya Dr Pek Chuen Khee berkata, pihaknya tidak pasti tahap keyakinan itu berubah atau tidak selepas beberapa siri pengumuman kerajaan melibatkan perintah kawalan pergerakan minggu ini termasuk kekeliruan maklumat
arahan bekerja dari rumah.

”Tahap kepercayaan orang awam terhadap kerajaan nampaknya agak positif dalam kaji selidik yang kami jalankan, yang mana daripada 1166 orang responden, 63.3 peratus yakin dengan kerajaan sebaliknya 36.7 peratus lagi sebaliknya.

”Cuma kami tidak pasti sama ada sentimen ini akan kekal atau berkurang selepas pengumuman demi pengumuman dibuat kerajaan kebelakangan ini berkait prosedur operasi standard (SOP) dan perintah kawalan pergerakan sejak beberapa hari lalu,”
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan mungkin wajar memberi perhatian dalam perkara ini dan segera menangani sebarang ketempangan jika perlu.

Menurutnya, dalam kaji selidik sama sebahagian besar responden turut bersetuju agar kerajaan hari ini mewujudkan jawatankuasa bersama dengan wakil daripada kerajaan sebelumnya bagi menangani pandemik Covid-19.

”Seramai 75.9 peratus responden bersetuju dalam perkara ini dan hanya 24.1 peratus yang tidak setuju,” katanya. – MalaysiaGazette