Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berbincang dengan Ketua Pembangkang terlebih dahulu bagi memastikan gencatan politik dapat dilaksanakan supaya Bajet 2021 boleh diluluskan bulan depan.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berpendapat, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan berkompromi secara politik untuk mengadakan gencatan politik, barulah Muhyiddin boleh melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Tegasnya, Ketua Pembangkang juga wajib mengutamakan keredaan politik untuk menyelamatkan rakyat dan negara, bukannya hanya mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan.

Perubahan kerajaan patut dilakukan melalui pilihan raya umum selepas wabak Covid-19 kembali reda.

“Saya bersetuju apa pun langkah seterusnya hendaklah secara paling bijaksana berpandu kepada perlembagaan dan undang-undang.

“Tidak salah Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri, berunding dulu dengan Ketua Pembangkang untuk mencapai kebijaksanaan itu.

“Keengganan Ketua Pembangkang untuk berkompromi secara politik agar adanya “gencatan politik” untuk meluluskan bajet pentadbiran serta mengatasi kesan buruk wabak COVID terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat, barulah Perdana Menteri dan kerajaan terpaksa melibatkan kuasa Yang Di Pertuan Agong.

“Ketua Pembangkang wajib mengutamakan keredaan politik untuk menyelamatkan rakyat dan negara dari mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette