Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengesahkan bahawa salah seorang pekerjanya di pejabat wilayah Johor Bahru positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan malam ini Bank Muamalat memberitahu, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pekerja di pejabat cawangan dan wilayah Johor Bahru yang telah berhubungan secara langsung (direct contact) dengan pekerja berkenaan, diminta menjalankan kuarantin kendiri di rumah masing-masing bagi tempoh 14 hari akan datang, sehingga diberikan pelepasan kesihatan sewajarnya.

“Pengesanan kontak sedang dilaksanakan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan. Prosedur sanitasi dan pembersihan sedang dijalankan di dua premis yang terletak di Kebun Teh Commercial City, Jalan Kebun Teh, di Johor Bahru, Johor,” menurut kenyataan itu.

Sejak dua minggu lepas, Bank Muamalat memaklumkan bahawa lima pekerjanya dari cawangan disahkan positif COVID-19 dan seorang pekerja telah pun sembuh.

“Ketika ini lima pekerja, termasuk yang kes terbaharu dari pejabat wilayah Johor Bahru, berada dalam jagaan hospital kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun bagi menangani kemungkinan risiko kesihatan disebabkan jumlah kes COVID-19 yang meningkat, waktu operasi cawangan Bank Muamalat terpilih telah dipinda, kepada tempoh dari pukul 9.15 pagi hingga pukul 3.00 petang.

“Bank Muamalat sedang mengambil langkah agresif bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelanggan, petugas dan komuniti, semasa memastikan penyampaian perkhidmatan kewangan penting berjalan dengan lancar.

“Bank Muamalat memberi jaminan kepada pelanggannya, bahawa semua urusan terus beroperasi seperti biasa dengan gangguan minimum, semasa kami terus meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan nombor satu,” tambahnya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melawat laman web Bank Muamalat www.muamalat.com.my atau menelefon 03-2600 5500. – Bernama