Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan isu pembubaran Parlimen tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet pagi tadi.

“Tadi memang ada mesyuarat khas Kabinet tetapi perkara mengenai pembubaran Parlimen tidak dibincangkan pun dalam mesyuarat hari ini.

“Walaupun saya tidak boleh menyebut (intipati mesyuarat) tetapi bagi menjawab soalan tersebut, ianya (isu pembubaran Parlimen) tidak dibangkitkan dan tidak dibincangkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi di bangunan Perdana Putra, Putrajaua.

Kesemua anggota Jemaah Menteri tiba di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu untuk menghadiri mesyuarat yang difahamkan telah membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Dalam titah tersebut, Seri Paduka Baginda menolak cadangan Jemaah Menteri diketuai oleh Muhyiddin supaya darurat diisytiharkan di negara ini bagi membolehkan usaha memerangi pandemik Covid-19 dilaksanakan secara bersepadu.

Baginda yakin kerajaan Perikatan Nasional mampu melaksanakan langkah-langkah memerangi wabak tersebut tanpa perlu mengisytiharkan darurat. – MalaysiaGazette