Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di Nilai, Negeri Sembilan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 28 Oktober ini sehingga 10 November.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur standard operasi (SOP) adalah sama dengan PKPB yang diumumkan sebelum ini iaitu semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, semua aktiviti dan majlis sosial tidak dibenarkan, aktiviti di masjid dan surau juga tidak dibenarkan kecuali laungan azan dan solat fardhu dengan jumlah yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Putra Point Nilai berkuatkuasa 28 Oktober sehingga 10 November.

Katanya, terdapat dua lokaliti asrama pekerja di Putra Point Nilai yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu di Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“SOP PKPB dan SOP PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan layari laman sesawang MKN untuk maklumat lanjut,” katanya semasa sidang media hari ini. – MalaysiaGazette