Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 835 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif virus itu meningkat kepada 28,640 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 9,903 kes dan telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 835 kes baharu terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Sabah mencatatkan penurunan jumlah kes baharu sebanyak 517 kes atau 55.8 peratus iaitu daripada 927 kes kepada 410 kes.

“Walaupun terdapat penurunan jumlah kes, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih terus giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di seluruh Sabah.

“Ini kerana, masih terdapat sebanyak 44 kluster yang aktif di Sabah dan peningkatan kes harian tempatan masih boleh berlaku,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 138 kes atau 16.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Jelas beliau, daripada 138 kes baharu ini, 65 kes atau 47.1 peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

“Untuk makluman, negeri-negeri ini dan juga Sabah telah pun diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Terdapat penurunan sebanyak 485 kes atau 95.5 peratus bagi kes-kes yang berkaitan kluster penjara pada hari ini iaitu daripada 508 kes kepada 23 kes.

“Daripada jumlah ini, 15 kes adalah daripada Kluster Tembok; tujuh kes daripada Kluster Penjara Kepayan; dan satu kes daripada Kluster Penjara Reman.

“Ini adalah hasil usaha keras semua pihak dalam menjalankan kawalan dan pencegahan di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi penjara dan kuarters yang yang terlibat iaitu bagi mengelak berlaku sebarang penularan ke komuniti,” katanya.

Dr. Noor Hisham memberitahu, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 238 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 89 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette