Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sebarang tindakan retorik dan proaktif yang mencetuskan kemarahan dan memburukkan agama Islam dalam bentuk ucapan dan penyiaran karikatur Nabi Muhammad SAW.

Menteri Luar, Datuk Srri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara sebagai hak asasi asas selagi hak itu dilakukan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab dan tidak melanggar hak pihak lain.

“Dalam konteks ini, untuk mencemarkan dan memburukkan Nabi Muhammad SAW dan mengaitkan Islam dengan keganasan melangkaui skop hak sedemikian.

“Tindakan sedemikian adalah provokatif dan tidak menghormati Islam dan terdapat lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di pinggir kota Paris, Perancis pada 16 Oktober lalu apabila seorang guru subjek sejarah di sebuah sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kepalanya dipenggal.

Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada para pelajar.

Lebih mengecewakan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberikan anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Sorbonne pada 21 Oktober lalu.

Menurut Hishammuddin, sebagai sebuah negara Islam yang demokrasi dan sederhana dengan pelbagai kaum dan agama, Malaysia terus mempromosi dan mengekalkan hubungan harmoni dan aman sedia ada bukan hanya dalam kalangan mereka yang berbeza kepercayaan dan pegangan tetapi juga dalam konteks global yang pelbagai.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mempromosikan amalan hormat menghormati antara agama dan mengelakkan ekstremis agama pada semua peringkat. – MalaysiaGazette