Naib Presiden PAS, Idris Ahmad semasa hadir untuk memorandum bantahan kepada terhadap tindakan Islamofobia rentetan penghinaan ke atas Rasulullah SAW kepada Kedutaan Besar Perancis di Integra Towe, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Pas akan menganjurkan protes secara dalam talian ke atas Kerajaan Perancis susulan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan tindakan Islamofobia, baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, protes dalam talian itu bagi menggantikan himpunan jalanan susulan penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Kita akan mengadakan satu protes online oleh kerana suasana hari ini tidak mengizinkan kita untuk mengadakan himpunan oleh kerana Covid-19, maka kita akan mengadakan protes dalam talian

“Ia akan melibatkan pemimpin-pemimpin termasuklah Tuan Guru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita juga minta supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan tokoh dakwah public figure untuk terlibat dalam protes online,” katanya pada sidang media di luar Kedutaan Perancis di Menara Integra, hari ini.

Selain bantahan terhadap sikap Emmanuel Macron, Pas juga akan melancarkan gerakan untuk memboikot produk keluaran Perancis.

“Kita nak anjurkan supaya umat Islam supaya memboikot barangan yang dikeluarkan oleh negara Perancis.

“Terutama syarikat-syarikat yang bersengkokol dengan rakan yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya lagi. – MalaysiaGazette