Gambar Hiasan. foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan hala tujunya perlu diperkasakan serta menjadi periksa dan imbang kepada kerajaan hari ini sebagai backbenchers yang kuat.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai yang menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘panduan moral’ kepada semua berharap musyawarah antara komponen Perikatan Nasional (PN) diperbanyakkan.

Ini juga termasuk dengan adanya kerjasama antara parti merentasi ideologi bagi mengekang Covid-19 dan memastikan Belajawan 2021 adalah bajet yang mampu meliputi semua aspek termasuklah ekonomi, keperluan pekerjaan, keperluaan hospital dan staf serta keperluan membasmi pencemaran yang semakin meningkat.

Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Muhamamd Shaqib Shahrilnizam berkata, ia selari dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menumpukan kepada tiga perkara iaitu Agenda Rekonsiliasi Nasional, kerjasama parti-parti merentasi ideologi ke arah Belanjawan 2021 dan mengurangkan penularan Covid-19.

”Ini merupakan dasar kita dari UMNO bagi mengutamakan keperluan rakyat yang ketika ini dalam keadaan perit menghadapi pandemik Covid-19. Pentadbiran yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri tidak harus gentar akan cabaran dan pertanyaan daripada pihak UMNO.

”Apa yang disuarakan oleh UMNO adalah datang daripada kutipan suara kegusaran rakyat. UMNO akan komited untuk mengukuhkan pentadbiran Perikatan Nasional sekiranya Bersatu berhenti mencatur politik yang pada penghujung ceritanya, ia akan mendatangkan mudarat kepada ekonomi dan kehidupan rakyat jika berterusan.

Bagaimanapun, katanya, satu garis masa dicadangkan kepada pentadbiran eksekutif untuk mengurangkan jumlah kes Covid-19 dengan segera dan seterusnya, membubarkan parlimen bagi kembalikan demokrasi ini kepada rakyat. – MalaysiaGazette