Timbalan Ketua Dewan Pemuda Ikatan (DPIP) Negeri Perak, Zul Akmal Zainudin

KUALA LUMPUR – Langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang meluluskan pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi serta menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun merupakan keputusan yang sangat proaktif.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Ikatan (DPIP) Negeri Perak, Zul Akmal Zainudin berkata, langkah itu juga menunjukkan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) benar-benar memikirkan masa depan kemajuan negeri dengan melibatkan tenaga muda untuk merancakkan bidang politik negeri.

Katanya, DPIP menyambut baik usaha baru kerajaan negeri itu yang boleh dianggap langkah berani dengan melibatkan tenaga belia sebagai pembuat dasar negeri.

“Meskipun sebelum ini golongan belia dianggap sebagai barisan mentah untuk berkecimpung dalam bidang politik, namun ruang yang diberikan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan belia untuk membuktikan stigma tersebut adalah tidak benar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, DPIP mengajak golongan belia di Perak untuk menyahut cabaran tersebut dengan sebaiknya dan seterusnya memacu kepada perubahan pembangunan negeri sejajar dengan sinonim belia dengan dunia kemodenan.

Ujarnya, DPIP juga ingin menyeru kepada semua belia agar dapat mengambil peluang dan ruang serta memanfaatkan waktu yang berharga ini. – MalaysiaGazette