Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berikutan susulan penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Jalan Reko, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020.

KAJANG – Sejumlah 7,500 penduduk di sekitar Plaza Hentian Kajang tidak dibenarkan keluar daripada kawasan tersebut selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berkuat kuasa tengah malam tadi.

Kerja-kerja pemasangan kawat berduri mula dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jam 9 malam dan berakhir pukul 12.30 tengah malam tadi.

Sejumlah tiga kilometer persegi kawasan ini dipasang dengan kawat berduri bagi mengelakkan penduduk cuba keluar daripada sekatan.

PKPD dilaksana ekoran terdapat 63 kes positif Covid-19 dilaporkan di kesan di kawasan tersebut sehingga menjadi kluster Hentian.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berikutan susulan penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Jalan Reko, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020.

Dengan pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang ini, kesemua penduduk di sini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Bagi bukan penduduk dan pelawat pula, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, aktiviti perniagaan seperti kedai runcit, kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dan penduduk dibenarkan untuk membeli makanan dan keperluan asas serta mendapatkan rawatan kesihatan.

Semasa pelaksanaan PKPD, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malah, pangkalan perubatan (medical base) akan dibuka di kawasan PKPD.

Semua laluan keluar masuk ke kawasan PKPD juga ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan ini.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengeluarkan kawat duri untuk dipasang setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berikutan susulan penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Jalan Reko, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020.

Plaza Hentian Kajang merupakan satu daripada tiga kawasan yang dikenakan PKPD, mula tengah malam ini.

Turut dikenakan PKPD adalah Flat Sungai Emas di Hulu Langat yang melibatkan seramai 1,300 dan Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak, membabitkan 532 unit rumah terdiri 4,191 penduduk.

PKPD di ketiga-tiga kawasan ini bermula hari ini hingga 10 November depan. – MalaysiaGazette