Cristiano Ronaldo.

TURIN – Ketiadaan Cristiano Ronaldo pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona pagi tadi menjadi punca pasukannya tewas 0-2 di tempat sendiri.

Ronaldonterlepas aksi bagi liga itu selepas beliau disahkan dijangkiti wabak Covid-19.

Hantaran pemain harapan Bercelona Lional Messi membolehkan Ousmane Dembele meletakkan Barca di depan dan bintang Argentina itu turut meledak gol kedua menerusi penalti yang juga jaringan ke-117 dalam sejarah kejohanan.

Tiga jaringan Alvaro Morata dibatalkan akibat ofsaid dengan Juve kehilangan seorang pemain pada lima minit terakhir selepas Merih Demiral dibuang padang susulan menerima kad kuning kedua.

Barcelona mengetuai Kumpulan G dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala Juventus tiga mata dan kedua-dua kelab akan bertembung sekali lagi di Camp Nou pada 8 Disember.

Kekalahan itu yang pertama buat jurulatih baharu Juventus, Andrea Pirlo yang kali terakhir beraksi sebagai pemain ketika tewas kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara 2015.

“Kami tahu ia perlawanan sukar. Mereka mempunyai pemain lebih berpengalaman manakala kami masih lagi dalam membina pasukan,” kata Pirlo.

“Kami perlu berkembang dan saya harap pemain lain dapat kembali secepat mungkin. Saya tiada pilihan, mereka yang beraksi perlu kekal 90 minit, jadi sukar apabila jadual perlawanan agak padat. ”

Ronaldo,35, adalah penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan dengan 130 gol jelas berang susulan terlepas perlawanan itu.

Superstar Portugal itu perlu negatif Covid-19 untuk tempoh 24 jam sebelum menentang Messi dan mereka tidak bertembung sejak pemenang lima kali Ballon d’Or itu meninggalkan Real Madrid dan menyertai Juventus pada 2018.

Beberapa jam sebelum perlawanan, Ronaldo yang berang terlepas perlawanan itu memuat naik foto di Instagram dengan kapsyen: “Berasa bagus dan sihat! Forza Juve! #finoallafine” selain menambah “PCR IS BULLSHIT.”

Tetapi dia kemudiannya memadamkan kata-kata itu. – MalaysiaGazette