Toyota Harrier yang terbakar dan pemandunya disyaki lelaki tempatan rentung dlam kejadian awal pagi tadi.Foto Ihsan: IPD Sepang

KUALA LUMPUR – Mayat lelaki ditemui dalam keadaan rentung di dalam keretanya yang hangus terbakar berhampiran Stesen Rel Aliran Ringan (LRT) Kota Warisan di Sepang pada 28 Oktober lalu disahkan mangsa kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff  mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.

“Dengan ini saya mengesahkan bahawa siasatan kes Toyota Harrier yang terbakar semalam adalah satu kes bunuh.

“Kes kini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membnuh,” katanya dalam mesej ringkas hari ini.

Semalam, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian di kawasan semak bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre Kota Warisan selepas menerima maklumat dari pemanggil talian 999 yang memaklumkan terdengar bunyi letupan.

“Saksi yang tinggal di asrama beralamat Jalan Airpot City 2, telah turun ke bawah dan nampak api marak dari dalam hutan yang terletak di sebelah asrama berjarak 20 meter sebelum menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan pegawai penyiasat di tempat kebakaran mendapati mayat telah rentung sepenuhnya dan polis dapat menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter daripada kereta itu. Kenderaan dikenalpasti sebagai milik seorang lelaki India,” ujar beliau.

Tambah beliau pemeriksaan Forensik Patalogi Dr. Emizam dari Hospital Serdang mendapati keadaan   mayat 90 peratus sudah rentung dan memerlukan bedah sisat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian.

Proses bedah siasat telah dilaksanakan oleh Hospital Serdang hari ini.-Malaysia Gazette