Lokaliti yang dikenakan PKPD akan dipasang kawat bagi mengelak penduduk keluar masuk.

Saudara Pengarang,

Saya berhasrat untuk turut memberi pandangan mengenai darurat, isu yang hangat diperkatakan baru-baru ini. Ada yang memberi pendapat bahawa darurat tidak diperlukan ketika ini kerana negara kita dalam keadaan aman dan selamat.

Sekali fikir, memang tidak perlu darurat disytihar kerana tiada kacau-bilau pun berlaku dalam negara kita, tiada rusuhan atau pergaduhan antara kaum, tiada perang atau ketegangan antara agama atau bangsa yang majmuk di Malaysia.

Rakyat hidup aman, bebas ke sana dan ke sini. Ya, memang ancaman Covid-19 mengehadkan pergerakan, tetapi ia hanya memerlukan kita berada di dalam rumah, bukan sesuatu yang menyusahkan. Jika perlu ke luar, pakai sahaja pelitup muka dan ikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bagi saya, itu pandangan yang singkat kerana jika kita amati situasi yang dihadapi sekarang dan melihat lebih jauh, adakah negara kita benar-benar dalam keadaan aman dan selamat?

Bagaimana kita menerima kenyataan bahawa mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 sudah hampir 300 orang setakat ini, jumlah jangkitan juga semakin menghampiri 30,000 kes.

Ketika angka jangkitan baharu mahu mencecah 200 kes sebelum ini pun kita sudah dibelenggu bimbang, tetapi kini sudah 1,200 kes sehari, mengapa kita berubah menjadi santai, menganggap negara masih dalam keadaan aman dan selamat?

Di Sabah, khabarnya kes-kes kematian akibat Covid-19 boleh dianggap seperti ‘kes biasa’, hampir setiap hari ada sahaja pesakit yang tewas dalam lawan menentang virus berbahaya itu.

Pada tahun 1969 dulu, laporan menyebut ada lebih 100 korban tragedi 13 Mei, tetapi darurat terus diisytihar di seluruh negara. Kini, hampir 300 orang sudah meninggal dunia dan mungkin ramai lagi akan menerima nasib yang sama, tiada keperluan pula untuk darurat diisytiharkan.

Ramai yang memberi pendapat, menegaskan pendirian kononnya darurat itu salah, tidak demokratik, malah dianggap sebagai cubaan merampas hak-hak asasi rakyat. Tidak pula kedengaran pandangan mengenai nasib mereka yang sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

Jika mahu berbicara mengenai demokrasi, kita lihat kembali apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) dilangsungkan di Sabah pada September lepas, selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan Yang di-Pertua Negeri supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Memang proses itu dibuat mengikut Perlembagaan, memang Mohd Shafie mempunyai kuasa dan hak menasihatkan agar DUN dibubar seterusnya PRN diadakan dan memang ia adalah amalan demokrasi.

Namun, semua tahu apa yang berlaku akibat PRN itu. Jumlah jangkitan baharu Covid-19 terus melonjak dengan mendadak dan kita pun terus menuding jari kepada orang politik, malah ada yang menamakan kes baharu berpunca dari Sabah sebagai Kluster Politik.

Kita lupa apabila setiap kali pilihan raya, memang orang politik akan turun berkempan kerana itu adalah kerja atau tanggungjawab mereka sebagai orang politik. Tanggungjawab pengundi adalah keluar mengundi dan itu semua tidak boleh dihalang kerana ia adalah amalan demokrasi.

Jika ada pihak yang cuba menghalang kempen atau pengundi daripada keluar mengundi, pasti ada kumpulan hak asasi atau yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih bersuara. Pasti ada kumpulan mengeluarkan kenyataan dan mengkritik habis-habisan mendakwa pilihan raya dilangsungkan secara tidak adil, hak berkempen dihalang, kerajaan zalim atau pelbagai tuduhan lain.

Selepas ini akan menyusul Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan kemudian PRN Sarawak. Sudah ada pendapat atau persoalan, bolehkah kedua-dua pilihan raya itu dielakkan?

Kenapa timbul persoalan atau pendapat sedemikian, jawapannya kerana rasa takut kes Covid-19 terus melonjak, mungkin menjadi lebih teruk daripada sekarang, kerana kita sudah berasa tidak selamat.

Justeru, apabila ada yang mepersoalkan kenapa darurat perlu diisytiharkan sedangkan negara kita masih aman dan selamat, apa yang dimaksudkan mereka?

Persoalan lain adalah bolehkah PRK Batu Sapi dibatalkan? Jawapannya tidak boleh kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas sesuatu kerusi pilihan raya kosong atas apa juga sebabnya.

Jadi, penduduk Batu Sapi perlu bersedia kerana PRK akan tetap diadakan bagi kerusi Parlimen itu atas amalan demokrasi berparlimen. Bersiap sedialah seadanya bagi mengelak dijangkiti virus berbahaya Covid-19, bersedia dan pandai-pandailah menjaga diri.

Saya dimaklumkan oleh rakan, katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun sukar mencari petugas untuk menjaga peti undi bagi PRK Batu Sapi. Entah  betul atau tidak, tetapi mungkin ada benarnya kerana mungkin ramai tidak mahu mendedahkan diri mereka kepada ancaman virus berbahaya.

Saya katakan kepada rakan itu, situasi tersebut mungkin bermakna negara kita tidak lagi dalam keadaan aman dan selamat. Dia mengangguk tanda setuju.

Selepas Batu Sapi, Sarawak pula perlu mengadakan PRN. Timbul persoalan sama, tidak bolehkah PRN Sarawak ditanguhkan sehingga ancaman Covid-19 berlalu? Namun, daripada persoalan itu menyusul pula soalan seterusnya, bila agaknya pandemik tersebut akan dapat ditangani sepenuhnya?

Demokrasi bermakna PRK Parlimen Batu Sapi dan PRN Sarawak terpaksa diadakan kerana jika tidak, kita sudah melanggar Perlembagaan.

Justeru, hadir cadangan agar SOP bagi kedua-dua pilihan raya itu diperketatkan, antaranya tiada kempen secara fizikal, tiada perhimpunan, tiada usaha meraih undi dari rumah ke rumah, cuma boleh memasang bendera dan poster parti.

Kempen pula disarankan secara maya melalui Facebook, Twitter, Instagram dan platform lain termasuk media arus perdana. Namun perlu diingat, kempen maya tidak berkesan di kawasan yang tiada liputan internet, di pedalaman dan kawasan rumah-rumah panjang, bermakna pengundi di kawasan itu tidak boleh dicapai.

Tiba hari pengundian pula, ada SOP lain dicadangkan, antaranya pastikan pemilih beratur pada jarak satu meter antara satu sama lain sebelum masuk ke pusat mengundi.

Bagaimana pula dengan pengundi dari Batu Sapi dan Sarawak yang berada di luar kawasan, di Lembah Klang, Johor atau negeri lain di Semenanjung? Bolehkah mereka dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab kerana jika dihalang, itu salah kerana menghalang hak demokrasi mereka.

Demi demokrasi, mereka juga perlu dibenarkan pulang mengundi. Dari Lembah Klang atau Sabah, mereka pulang ke Sarikei, Sibu, Bintulu, Kapit, Ba’kelalang, Belaga dan seluruh Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab memilik wakil rakyat, seterusnya kerajaan baharu.

Bolehkah dijamin mereka ini bebas Covid-19? Ada yang menjawab boleh, cuma wajibkan mereka menjalani ujian saringan dahulu dan jika negatif baru dibenarkan pulang mengundi.

Namun, timbul persoalan lain. Siapa perlu menanggung kos ujian saringan berkenaan yang bukannya murah, dikhabarkan RM300 kos paling minimum.

Bagaimana pula dengan kapasiti makmal untuk menganalisis ujian saringan kerana mereka yang mungkin pulang ke Sarawak untuk mengundi nanti bukan seorang dua, dijangka mencecah ratusan ribu juga. Cukupkah makmal yang sedia ada untuk menganalisis ratusan ribu sampel dalam masa yang pendek, tiga atau empat hari?

Mengikut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kapasiti makmal sedia ada boleh menganalisis sehingga 20,000 sampel sehari. Berdasarkan itu, mungkin perlukan masa 10 hingga 15 hari untuk menganalisis sampel ratusan ribu pengundi dari luar Sarawak yang mahu pulang untuk mengundi pada PRN nanti.

Bagaimana pula dengan tempoh sah hasil ujian? Mengikut laporan dan pembacaan saya, ia hanya boleh bertahan sehingga tiga hari sahaja. Jadi, sempatkah untuk pengundi dari luar Sarawak pulang ke kampung memilih kerajaan baharu?

Cara lain yang disarankan adalah undi pos. Jika ratusan ribu rakyat Sarawak yang tinggal di luar negeri itu dibenarkan mengundi melalui pos, saya hampir pasti ia akan mengundang kritikan, sama ada daripada pembangkang atau kumpulan yang kononnya memperjuangkan pilihan raya bersih.

Saya hampir pasti akan ada tuduhan, mendakwa undi pos adalah cubaan kerajaan untuk menipu, memanipulasi undi atau membeli kertas undi untuk dipangkah sendiri atau pun tuduhan kerajaan mahu menukar kantung kertas undi serta mungkin pelbagai andaian lagi.

Bagaimana pula dengan SPR? Adakah suruhanjaya itu mempunyai kemampuan mengendalikan ratusan ribu kertas undi pos yang khabarnya ia proses jauh lebih merenyahkan berbanding undi secara biasa di pusat mengundi, malah sudah ada kes-kes sebelum ini undi pos gagal sampai di pusat penjumlahan pada waktu yang sepatunya.

Bagaimana jika esok atau dalam masa terdekat, DUN Sarawak dibubar ketika ancaman Covid-19 di negara kita masih menular? Bagaimana jika terlepas beberapa kes jangkitan membabitkan penduduk di pedalaman Kapit atau Belaga?

Tidak kasihankah kita kepada penduduk di pedalaman Sarawak itu jika ada antara mereka dijangkiti virus berbahaya berkenaan kerana khabarnya, jika perlu ke hospital terdekat, mereka harus menaiki bot sehingga satu atau dua hari.

Atas semua hujah di atas, saya yakin dan percaya itu adalah sebab utama Kabinet melalui mesyuarat khasnya sebelum ini menyarankan darurat, yang memperuntukkan kuasa penuh kepada Yang di-Pertuan Agong menentukan tarikh paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya tanpa perlu tertakluk kepada Perlembagaan.

Jika Seri Paduka Baginda mahu pilihan raya diadakan selepas negara kita tidak lagi diancam Covid-19, maka selepas ancaman itu berakhirlah baru diadakan pilihan raya, tidak lagi dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubar seperti mana yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Sebab itu saya kasihankan Perdana Menteri kita, dikritik dan dilempar dengan bermacam-macam tuduhan sedangkan niat dan hasrat baiknya tidak pernah pun ditanya oleh sesiapa.

Syed Noh, Batu Pahat

2 Komen

  1. Tanah Melayu merosot ke 12% takkan darurat sebab sewaktu ekonomi Melayu satu digit pun tak darurat sehingga rusuhan kaum 13 Mei barulah darurat. Justeru, selagi tiada rusuhan kaum maka selagi itulah tiada darurat. Tiada sebab darurat ekoran Pak Pandir menang bersorak tetapi kampungnya tergadai, kan?

Comments are closed.