Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

SERDANG – Rancangan seorang lelaki cuba meragut seorang pelajar perempuan gagal apabila selepas motosikal yang ditunggangnya jatuh ke dalam longkang.

Dalam kejadian di hadapan kedai minum di Seri Kembangan pada pukul 5.30 petang kelmarin itu menyaksikan suspek ditangkap orang ramai.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menjerit meminta tolong telah menarik perhatian orang ramai.

“Suspek telah memecutkan motosikalnya bagi mengelak ditangkap orang awam sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke dalam longkang tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Razali, suspek kemudiannya ditahan oleh orang awam sehingga diserahkan kepada pihak polis.

“Hasil semakan awal terhadap suspek yang bekerja sendiri itu dijumpai beberapa buah telefon bimbit yang disyaki dicuri.

“Malah polis turut menemui beberapa paket dadah dalam milikan suspek dan siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dadah.

“Suspek kini ditahan di hospital untuk mendapatkan rawatan awal kerana disyaki patah kaki dan mengalami pendarahan di bahagian kepala akibat terjatuh dalam longkang semasa cuba melarikan diri selepas insiden ragut itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang,” kata beliau. – MalaysiaGazette