Pulau Yeonpyeong yang menjadi sempadan Korea Utara dan Korea Selatan. foto Agensi

SEOUL – Korea Utara memaklumkan tindakannya menembak mati seorang lelaki Korea Selatan di perairan negaranya bulan lalu bertujuan mempertahankan diri di tengah-tengah kebimbangan penyebaran novel koronavirus.

Dalam kejadian itu, tentera Korea Utara menembak mati seorang pegawai perikanan Korea Selatan yang hilang pada akhir September dengan menyimbah mayat itu dengan minyak lalu membakarnya, kata tentera Korea Selatan.

Seoul telah meminta siasatan bersama setelah Korea Utara mengatakan ia membakar alat pengapung yang mangsa gunakan, bukan badannya.

Tindakan kejam Pyongyang itu menimbulkan kemarahan orang ramai dan ahli-ahli politik.

Agensi berita KCNA menuduh pihak pembangkang Korea Selatan mencetuskan kontroversi mengenai isu ini.

Malah, negara itu menyalahkan Seoul kerana gagal menghalang warganegaranya menyeberangi sempadan maritim untuk ke Korea Utara.

“Askar kami mengambil tindakan mempertahankan diri kerana dia menilai warga Korea Selatan telah melakukan pencerobohan haram ke perairan,” kata KCNA.

Kejadian itu disebabkan “kawalan warganegara yang tidak betul di pihak selatan di kawasan panas ketika terdapat ketegangan dan bahaya akibat virus ganas yang melanda seluruh Korea Selatan,” tambahnya.

”Oleh itu, kesalahan atas kejadian itu terletak pada Korea Selatan,” katanya.

Tentera Korea Selatan telah memaklumkan lelaki itu cuba belot ke Korea Utara ketika dia dilaporkan hilang dari sebuah kapal nelayan di sebelah selatan Garis Sempadan Utara (NLL).

NLL adalah sempadan kawalan ketenteraan yang bertindak sebagai sempadan maritim antara dua Korea.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membuat permintaan maaf atas pembunuhan tersebut beberapa hari setelah kejadian itu, dengan mengatakan ia untuk bertujuan mencegah wabak koronavirus. – MalaysiaGazette