Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR –  Pergerakan Pemuda UMNO memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan semula harapan dan hasrat rakyat untuk mengeluarkan simpanan mereka dalam akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sekurang-kurangnya RM5,000.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan juga boleh mengehadkan pengeluaran pada paras RM10,000.

Katanya, rata-rata rakyat merintih dan menyampaikan keluhan serta keresahan mereka tentang kesempitan hidup yang terpaksa dilalui berikutan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kelangsungan hidup ketika ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan sampaikan secara rasmi harapan rakyat kepada Menteri Kewangan dalam masa terdekat. Cadangan kami berikan kelonggaran pengeluaran hanya ketika rakyat dihimpit kesusahan ketika ini.

“Pengeluaran juga boleh dibenarkan secara beransur-ansur tidak sekaligus. Apabila situasi kembali pulih, pencarum boleh kembali digalakkan untuk menambah semula caruman mereka,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Rata-rata netizen yang membuat ulasan di ruang komen bersetuju dengan saranan Pemuda UMNO dan menggesa kerajaan supaya membenarkan mereka mengeluarkan simpanan akaun 1.

Masing-masing berkata, mereka bukan hendak mengeluarkan keseluruhan simpanan sehingga boleh menjejaskan perancangan masa hadapan sebaliknya tidak melebihi RM10,000.

Artikel berkaitan: Kerajaan sukar benar pengeluaran akaun 1 KWSP – PM

Perdana Menteri dalam ucapannya hari ini berkata, sukar untuk kerajaan membenarkan rakyat Malaysia mengeluarkan caruman dalam akaun 1 KWSP kerana bimbang mereka akan berhadapan dengan masalah lebih besar kelak.

Artikel berkaitan: Pengeluaran Akaun 1 KWSP akan hakis perlindungan masa depan ahli – Alizakri

Sementara itu KWSP dalam kenyataannya malam tadi berkata, akses kepada simpanan akaun 1 bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan wang tunai semasa penularan Covid-19.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias ​​berkata, kerajaan telah menyediakan banyak bantuan kewangan langsung melalui PRIHATIN, PRIHATIN SME +, PENJANA, dan KITA PRIHATIN berjumlah RM55 bilion untuk B40 dan M40. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa yg payah sngt nk kluarkan duit sendiri kot…orng mati bankrup kojol dulu walhal duit berlambak dlm acc…ke duit dh x der… tanya jer

Comments are closed.