Emmanuel Macron

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beliau menghormati umat Islam yang marah dengan kartun Nabi Muhammad tetapi itu bukan alasan untuk melakukan kekerasan.

Pada masa ini, Perancis meningkatkan kawalan selepas kejadian serangan pisau di sebuah gereja di Nice yang mengorbankan tiga orang mangsa pada minggu ini.

Serangan itu disyaki bermotifkan Islam selepas penyerangnya didakwa menjerit “Allahu Akbar” ketika memenggal kepala seorang wanita dan membunuh dua orang lain.

Penyerang yang disyaki, berusia 21 tahun dari Tunisia, ditembak polis dan kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital.

Selain penyerang, polis turut menahan tiga yang lain kerana disyaki ada kaitan dengan penyerang.

Macron telah mengerahkan ribuan tentera untuk melindungi tempat-tempat seperti tempat ibadah dan sekolah, dan para menteri telah memberi amaran bahawa serangan lain boleh berlaku.

Serangan di Nice itu berlaku ketika kemarahan umat Islam meningkat selepas Perancis mempertahankan hak penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad.

Pada 16 Oktober lalu, Samuel Paty, seorang guru sekolah di pinggir bandar Paris, dipenggal oleh seorang lelaki Chechen berusia 18 tahun yang marah selepas guru berkenaan menunjukkan kartun Nabi Muhammad di dalam kelas semasa pelajaran sivik.

Penunjuk perasaan telah mengecam Perancis dalam demonstrasi jalanan di beberapa negara yang majoriti Muslim, selain melancarkan kempen boikot barangan Perancis.

Perancis sekali lagi tersentak apabila seorang paderi Ortodoks Greek ditembak dan cedera di gerejanya di tenggara kota Lyon, pada hari Sabtu.

Dalam usaha memperbaiki keadaan, Macron berkata, dunia telah salah faham mengenai niat Perancis.

Katanya, Perancis tidak akan mundur dalam menghadapi keganasan dan akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara, termasuk penerbitan kartun.

Tetapi ini tidak bermaksud beliau menyokong kartun-kartun itu, yang dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan atau Perancis disifatkan sebagai anti-Muslim.

“Saya memahami dan menghormati kemarahan umat Islam dengan kartun-kartun ini, tetapi saya tidak akan pernah menerima bahawa seseorang boleh dibenarkan melakukan keganasan fizikal disebabkan kartun-kartun ini.

“Dan saya akan mempertahankan kebebasan menulis, berfikir, melukis di negara ini.

“Itulah yang saya lakukan, tetapi pada masa yang sama, ini melindungi hak-hak tersebut,” ujar Macron sambil berkata peranannya untuk menenangkan keadaan..- MalaysiaGazette