KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mengesahkan seorang kakitangan yang tidak berhadapan dengan pelanggan di Menara UOB, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur telah disahkan positif Covid-19.

Kakitangan tersebut kini sedang dirawat.

UOB berkata, kali terakhir kakitangan itu berada di pejabat beliau di Menara UOB adalah pada 21 Oktober 2020 dan telah bekerja dari rumah selepas itu.

Beliau telah mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik tempatan setelah menunjukkan gejala seperti selesema sebelum diuji positif untuk virus tersebut.

Sebagai sebahagian daripada proses pengesanan kontak, UOB telah menghubungi semua pihak yang telah berhubung rapat dengan kakitangan tersebut.

Mereka akan menjalankan ujian untuk virus tersebut dan telah diminta untuk menjalani kuarantin diri sambil memantau kesihatan mereka dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

”Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan untuk langkah-langkah susulan tambahan yang mungkin diperlukan.

”Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan, kakitangan dan masyarakat bahawa kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua tingkat dan kawasan umum yang terlibat di Menara UOB selaras dengan garis panduan pihak berkuasa kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

UOB berkata, kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatannya memandangkancbank telah melaksanakan pelanckesinambungan perniagaan yang mantap.

Selain itu, sembilan cawangan UOB Malaysia, yang ditutup sementara dari 21 Oktober 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang disasarkan, akan beroperasi semula pada 2 November 2020 dengan waktu operasi yang lebih pendek.

Cawangan ini ialah di Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong (Kuala Lumpur); Kota Damansara, Shah Alam, Ijok dan Jalan Othman, Petaling Jaya (Selangor) serta Tuaran dan Sandakan di Sabah.

Semua cawangan ini akan dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat manakala kemudahan perbankan layan diri akan disediakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari. – MalaysiaGazette