Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini perlu menumpukan kebajikan kepada rakyat dan bukan untuk meraih populariti.

Ini kerana, rakyat sudah pasti menantikan intipati  yang membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

“Pemuda UMNO Johor berpandangan, Bajet 2021 secara bersasar sangat sesuai untuk dilaksanakan ketika ini terutama bagi golongan yang mudah terkesan.

“Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Hairi berkata, banyak perkara dapat dilihat sebelum ini seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekarang ditukar namanya kepada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.

Selain itu katanya, tumpuan belanjawan tentunya perlu dipertingkatkan dari aspek penyelidikan dan pembangunan  vaksin Covid-19 dan peruntukan bagi membantu golongan terkesan khususnya petugas barisan hadapan.

Bagi tujuan itu katanya, pihaknya juga mencadangkan agar setiap kerajaan negeri diberikan geran atau peruntukan besar oleh kerajaan pusat bagi membantu menangani kesan wabak itu.

“Ia seperti bantuan terus dari kerajaan untuk menaik taraf hospital bagi memastikan semua hospital mempunyai unit baru atau bagunan baru iaitu wad khas Covid-19 dan saringan percuma kepada semua masyarakat yang ingin membuat swab test,” ujarnya.

Tambah Mohd. Hairi, negara hari ini dikejutkan dengan peningkatan mendadak indeks kes baharu Covid-19 dan disebabkan itu kerajaan perlu memastikan Prosedur Operasi Standard Covid-19 terus diperketatkan seperti di sekolah, masjid, rumah-rumah ibadat dan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. – MalaysiaGazette