Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini mempertahankan tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam baru-baru ini.

Beliau menegaskan tindakan Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bertepatan dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat yang sesak sahaja.

“Sahabat tanya saya perihal YB Dato Mohd Khairuddin, Menteri Sawit dan Getah itu, apasal tak pakai pelitup muka sampai kena hentam di ruang maya?

“Saya jawab, baguslah beliau tak pakai. Beliau tunjukkan kita dan bezakan tempat sesak yang wajib pakai dari tempat tidak sesak yang tak wajib pakai pelitup muka,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mendakwa usaha penyebaran gambar menteri itu didalangi oleh jentera Pakatan Harapan (PH) secara terancang untuk mengelirukan rakyat.

“Usah terpengaruh dengan bebudak PH yang secara terancang viralkan gambar-gambar YB Menteri yang tak pakai pelitup muka. Itu semua aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat.

“Puji dan kritik hanya benar dan berpahala pada perkara yang benar sahaja.Ambillah ingatan agama bahawa fitnah dan sebaran berita palsu berleluasa di akhir zaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette