Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN

BELANJAWAN 2021 bakal tiba tidak lama lagi. Seramai 222 orang Ahli Parlimen akan bersama-sama membincangkan pelan kepentingan dan kebajikan rakyat bagi tempoh pendek tahun hadapan melalui pembentangan belanjawan itu.

Ramai yang meletakkan harapan cukup tinggi terhadap pihak kerajaan melalui Belanjawan 2021 ini. Mana taknya, rakyat terus tersepit selepas beberapa siri gelombang virus maut melanda negara dan dunia ini.

Petunjuk kepada penyelesaian pandemik ini nampaknya masih panjang. Ada pakaryang menjangka bahawa Covid-19 ini dapat selesai dua tiga tahun akan datang. Bukannya tempoh yang singkat!

Justeru rakyat mengharapkan pertolongan dari kerajaan untuk terus hidup dalam posisi yang serba baik. Belanjawan 2021 inilah antara bayangan penentu kepada nasib rakyat.

Antara sektor yang dijangka bakal memperoleh peruntukan tertinggi semasa pandemik menyerang adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pimpinan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pimpinan Datuk Seri Nancy Shukri.

Ini bagi menyelesaikan permasalahan berkaitan pelan melawan virus tersebut (KKM) dan penyembuhan semula sektor pelancongan domestic (MOTAC).

Dengan tak menafikan fungsi dan kerja kementerian lain, KKM dan MOTAC mungkin menjadi pilihan kerajaan untuk membantu rakyat dalam strategi serampang dua mata.

Serampang dua mata merujuk kepada bagaimana gerak kerja melawan Covid-19 dari segi kesihatan dan suntikan modal kepada sektor pelancongan negara yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sekarang semua perancangan ini hanya akan dinikmati rakyat sekiranya majoriti Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 tersebut.

Persoalannya, sejauh mana kerajaan semasa mampu membawa sokongan dari 109 Ahli Dewan Rakyat yang tidak memihak kepada kerajaan untuk bersetuju kepada pembentangan Belanjawan 2021 ini?

Sekiranya rakyat diutamakan oleh mereka yang berada di Dewan Rakyat, tidak mustahil kita akan menyaksikan laluan mudah untuk Belanjawan 2021 diluluskan.

Namun jika tidak, perkara sebaliknya berlaku.

Ibrahim Md Syukri
Putrajaya