Datuk Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengutamakan usahawan, peniaga dan majikan yang terkesan akibat penularan Covid-19 melalui pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengemukakan kepada Kementerian Kewangan beberapa cadangan daripada pemain sektor perniagaan yang mempunyai cabaran tersendiri.

“Bantuan itu disifatkan penting bagi menyelamatkan perniagaan atau firma, perniagaan besar, sederhana dan kecil ternyata terkesan dalam keadaan yang tidak menentu ini.

“Kerajaan wajar mencari pendekatan dalam membantu sektor perniagaan yang terus terjejas sehingga menyebabkan ramai peniaga terpaksa gulung tikar. Kesan itu akan menyebabkan ramai yang kehilangan kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sohaimi memberitahu, kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan itu terutama bantuan tambahan kepada golongan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang mengakui bantuan sebelum ini tidak mencukupi.

“Saya amat berharap kerajaan prihatin mendengar suara rakyat yang kian tersepit. Kita tidak mahu, akhirnya rakyat terpaksa meminjam wang dengan pihak yang salah dan timbul pula masalah sosial,” jelasnya.

Berikut antara 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi ketika negara berhadapan  krisis pandemik Covid-19 termasuklah:

1. Moratorium dilanjutkan secara automatik sekurang-kurangnya 3 bulan atau sehingga 6 bulan.

2. Kebenaran pengeluaran KWSP Akaun 1 sekurang-kurangnya RM5,000.

3. Menyediakan peruntukkan kepada para graduan menganggur mahupun yang telah diberhentikan kerja.

4. Peruntukkan perlu disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan menganjurkan projek berterusan.

5. Usahawan di Sabah dan Sarawak perlu diberi lebih bantuan kewangan (soft loan) untuk membolehkan mereka mempunyai daya saing dengan rakan usahawan di Semenanjung.

6. Usahahawan belia dan lepasan universiti diberi modal untuk memulakan perniagaan online dan offline.

7. Melanjutkan bantuan subsidi upah sehingga 2021.

8. Pembiyaan, Pinjaman atau Geran Khas bagi memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menarik taraf penggunaan pemasaran digital dan pembelian keperluan teknologi maklumat.

9. Usahawan wanita perlu diberi pinjaman mudah untuk memperkasakan usahawan wanita.

10. Memudahkan keperluan standard, halal dan kelulusan untuk operasi kilang yang dimiliki perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).- MalaysiaGazette