Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan yang jugak anak beranak Chai Kin Sang (dua kiri) dan Chai Wern Teik (dua kanan) dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan khianat dengan melupus dan melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas dua pertuduhan mencemarkan Sungai Gong, Selangor pada pertengahan Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh, Chai Kin Sang, 62, dan anaknya, Chi Wern Teik, 31, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Maziah Joary Mohd Tajudin pagi tadi.

Kedua-dua suspek yang tinggal di Damai Sari Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur dibawa ke mahkamah dengan van polis pada jam 8.15 pagi tadi.

Dalam pertuduhan pertama mereka dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn. Bhd., dilupuskan ke dalam alur air, yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 sehingga 19 Oktober lalu di Premis FG Autoparts Sdn. Bhd. di Lot 16273, Jalan Sungai Bakau-Batu Arag, Rawang.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala dalam pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn.Bhd, ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang tanpa lesen.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 hingga 19 Oktober 2020 di syarikat berkenaan di Lot 16273, Jalan Sungai Bakau-Batu Arang, Rawang.

Kedua-dua tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela Muhammad Nor Izzat Nordin dari firma peguambela dan peguamcara Asis.

Muhamad Iskandar dalam hujahnya meminta mahkamah tidak membenarkan ikan jamin terhadap kedua-dua tertuduh dengan alasan ia merupakan isu nasional yang serius dan kesalahan itu menyebabkan kira-kira enam juta pengguna Lembah Klang terjejas daripada segi khidmat bekalan air terputus disebabkan pencemaran Sungai Gong.

“Puan Hakim isu air terputus bukan sahaja jadi perbualan kedai kopi tapi juga peringkat tertinggi.

“Kes pencemaran Sungai Gong 1 dan 2 operasi sama isu bahan kimia bahaya mengalir masuk ke sungai dan sebulan selepas kejadian pertama mereka tidak mengambil ikhtibar.

“Sampai bila penduduk hadapan dengan norma baharu sebegini, cukuplah sekadar norma baharu Covid-19 yang melanda dunia dan wujud risiko bahaya kebarangkalian tertuduh ganggu saksi kerana dia mempunyai segala butiran serta alamat tempat tinggal semua kesemua enam pekerjanya yang kini menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguambela Muhammad Nor Izzat dalam hujahan balas meminta mahkamah membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang atas faktor kesihatan Chai Kin Sang.

“Puan, saya ingin menarik perhatian bahawa dalam kes ini kilang kami telah meninjau dan selidik lokasi sungai itu dan juga kilang anak guam kami mendapati kilang mereka terletak pada jarak 40 kilometer dari lokasi didakwa berlaku pencemaran.

“Lagipun kilang mereka hanyalah khidmat ruang pameran menjual kenderaan berat sahaja, kalau tengok peta banyak sungai yang ada banyak-kilang lain di tepi sungai, dengan hanya satu tangkapan ini, mereka cepat memutuskan kedua-dua anak guam saya bersalah. Malah kononnya enam juta orang terjejas memang dilaporkan dari kes dahulu lagi.

“Malah sehingga kini belum ada laporan atau fakta menunjukkan kilang mereka menyebabkan pencemaran itu.

“Justeru kesihatan anak guam kami berusia 62 tahun ini menjalani pembedahan mata 4 September lalu dan memerlukan rawatan susulan dan stu lagi pembedahan besar selepas ini.

“Oleh kerana kilang mereka disita dan tidak boleh beroperasi , maka tidak wujud kebarangkalian bahaya yang dibangkitkan pendakwaraya dan saya merayu wang jaminan RM200,000 dibenarkan setiap tertuduh dengan syarat tambahan,” ujar beliau.

Justeru katanya, tertuduh itu merupakan salah seorang pengarah syarikat tersebut bersama anaknya yang juga pengarah bersama dituduh dalam kes ini.

Menurutnya, tertuduh juga seorang warga emas yang bertanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah dalam 10 syarikat di bawah kelolaannya di negara ini sejak 1995 dan tiga anak perempuannya bekerja di salah satu syarikat di bawah kelolaannya.

“Oleh kerana kes ini melibatkan laporan dari jabatan lain selain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), ia mungkin mengambil masa lama sebelum perbicaraan dimulakan dan jika tak dibenarkan jamin, kedua-dua anak guam saya terpaksa duduk dalam penjara sementara tunggu laporan jabatan lain dan ini jelas melanggar peruntukan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Maziah Joary menetapkan ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk setiap tertuduh dan mereka dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau menetapkan tarikh 16 Disember 2020 sebagai hari sebutan kes.

Pada 22 Oktober lalu kedua-dua suspek ditahan bersama enam labi pekerjanya atas dakwaan mencemarkan sungai Gong.

Mereka direman sehingga 28 Oktober lalu sebelum disambung reman di Mahkamah Majistret Selayang sehingga 3 November lalu untuk melengkapkan kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

Kedua-dua suspek itu ialah pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan manakala enam lagi suspek dipercayai pekerja syarikat tersebut.-MalaysiaGazette

Cemar Sungai Gong: Bapa dan anak akan didakwa esok

Cemar air Sg Gong: 8 termasuk bapa dan anak ditahan reman