Gambar hiaan

PUTRAJAYA – Kluster Batu yang dikesan di Perak sebelum ini akhirnya diisytiharkan tamat hari ini, namun dua kluster baharu pula dikesan di Pulau Pinang, Kedah serta di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu yang dikenal pasti adalah Kluster Cergas di Seremban, Negeri Sembilan yang mana kes indeks kluster berkenaan iaitu kes ke-30751 telah dikenalpasti positif Covid-19 menerusi hasil saringan individu bergejala pada 29 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat telah berjaya membantu KKM mengesan 11 lagi kes positif yang mana kes-kes itu telah dimasukkan ke Hospital Rembau, Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja’afar.

“Untuk kluster baharu ini, sebanyak 144 individu telah disaring dan 12 daripadanya dikesan positif (10 kes baharu), manakala 126 individu dikesan negatif dan enam lagi menunggu keputusan saringan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Dalam pada itu kluster baharu Permatang pula dikesan di Kulim Kedah, Seberang Perai Tengah Utara dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Katanya, kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-34174 adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) di sebuah pusat perubatan swasta dan telah dikesan positif Covid-19 pada 31 Oktober lalu.

Tambah beliau,kes indeks itu kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

“Sebanyak tujuh lagi kes positif telah dikesan menerusi saringan kontak rapat membabitkan kluster Permatang ini dan kesemuanya dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Setakat 12 tengahari ini, sejumlah 97 individu telah disaring yang mana lapan daripadanya positif (tiga kes baharu) manakala 74 lagi individu negatif sementara 15 lagi menunggu keputusan saringan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette