KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat dua laporan polis berasingan terhadap pihak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA) dan Majlis Raja-Raja dalam isu berkaitan darurat.

Antara kandungan laporan oleh beberapa NGO ialah tentang tindakan Syed Iskandar Syed Jaafar yang memfailkan saman pemula terhadap kerajaan berhubung keputusan YDPA tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Laporan kedua pula gesaan tindakan tegas terhadap persatuan pelajar University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mendakwa YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara, tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar Razali Zakaria yang menjadi jurucakap kepada NGO terbabit melahirkan rasa tersinggung dan marah dengan sikap biadab yang ditonjolkan oleh segelintir rakyat di negara ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan sebenarnya tidak boleh mempertikai keputusan atau titah oleh YDPA. Itu adalah keputusan yang akhir sekali dan tidak seharusnya dipertikaikan lagi.

“Sama ada pertikai dalam laman sosial mahupun bawa isu tersebut ke mahkamah, tidak sepatutnya sama sekali berlaku. Kalau pertikai melalui Majlis Raja-Raja bermakna kita adalah penderhaka kepada raja dan negara.

“Jadi kita tidak mahu ‘perangai’ seperti ini, payung negara, agama bangsa adalah YDPA. Kita tidak keputusan baginda itu senang lenang dipertikai seperti ini. Jika kita boleh pertikai jadi keputusan siapa lagi kita hendak percaya?

“Sudahlah, jangan ingat sesuka hati boleh buat seperti ini dan terlepas. Kita harap pihak berwajib akan segera siasat dan ambil tindakan yang sepatutnya, jangan takut untuk ambil tindakan terhadap mereka yang biadap seperti ini,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Kata Razali, pihaknya mewakili suara-suara rakyat serta ahli NGO berkaitan yang lebih 30,000 namun tidak berupayaan untuk hadir sama memandangkan penularan Covid-19 dan kehadiran dalam jumlah ramai tidak dibenarkan.

Jelasnya lebih banyak laporan polis akan dibuat di seluruh negara untuk pihak berkuasa segera bertindak dalam isu ini.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini, yang boleh menyelamatkan kita dengan keadaan pandemik Covid-19 adalah YDPA, kita patutnya dengar. Keputusan YDPA adalah keputusan rakyat, kita semua akan bersama-sama YDPA,” tegasnya.

Antara NGO yang hadir sebentar tadi termasuklah MJMM, GPMN, Reformis, IRIMM, ARC, Gegas, Kipidap, KMN, MBM, Pertubuhan Warisan Taqwa Islamiah Malaysia, Permas, Persatuan Veteran Tentera Daerah Gombak, Persim Malaysia, Semangat Gelombang dan banyak lagi.

Razali turut mendedahkan pihaknya ada mendengar khabar angin kononnya ada pihak sekali mahu ‘menghidupkan’ kembali cadangan darurat yang telah ditolak oleh YDPA dan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

“Jika ini berlaku, kami akan menghantar memorandum kepada YDPA sebagai rakyat menolak cadangan darurat ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.