Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe dan Restoran , Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil bercakap kepada media mengenai punca pencemaran Sungai Kenui di Lebuhraya Karak, Lentang, Bentong, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2020

BENTONG – Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe dan restoran, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memusnahkan alam sekitar di Sungai Kenoi, Lentang.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) itu berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan hutan di sekitar kawasan tersebut  berstatus tanah dara dan diteroka mulai 15 Oktober lalu.

“Saya akan teruskan tindakan saman saya terhadap pemilik tanah, kontraktor dan juga pelesen dalam masa terdekat.

“Ini kerana tidak ada apa-apa perbincangan dengan saya di sini dan mereka tidak ikut undang-undang yang betul. Apa yang saya nampak bukan sahaja untuk pembalakan tapi mungkin juga untuk pembalakan di sekeliling hutan ini kerana ia adalah hutan dara,” katanya kepada media, hari ini.

Dengan langkah tidak bertanggungjawab itu, Shariffa Sabrina berkata, sungai yang mengalir di kawasan beliau telah menjadi terlalu keruh sejak penghujung Oktober lalu.

“Mereka sudah membuka hutan di atas dan sungai yang melalui Tanah Aina ini akan jadi keruh selamanya dan akan beri kerosakan.

“Kerajaan mesti gazetkan mana-mana hutan yang ada kawasan tadahan air terutamanya air terjun mesti dijaga kerana itu khazanah negara.

“Keadaan di atas memang teruk, mereka buka jalan macam nak ambil balak untuk sembilan ekar tanah sahaja, tapi cara mereka bina jalan itu selama tiga bulan,” katanya.

Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe dan Restoran , Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendedahkan punca pencemaran Sungai Kenui di Lebuhraya Karak, Lentang, Bentong, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2020 LP

Semuanya bermula apabila terdapat aktiviti pembinaan jalan untuk ke kawasan lesen pembalakan jenis Tanah Milik yang terletak dalam daerah Bentong, dilihat mencemarkan Sungai Kenoi dan kawasan sekitarnya.

Ekoran daripada itu, hari ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mengarahkan syarikat pelesen pembalakan di kawasan Hutan Lentang, Bentong kira-kira 173 kilometer dari Kuantan, membersihkan sisa penolakan jalan yang menjejaskan Sungai Kenoi di lokasi itu.

JPNP menurut pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin turut mengarahkan kerja-kerja pembersihan bagi pembinaan jalan keluar di kawasan lesen pembalakan itu dihentikan serta merta untuk penilaian semula.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman meluangkan masa melihat keadaan Sungai Kenui akibat pembalakan di Lentang, Bentong, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2020

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Wong Tack mempersoalkan kewajaran kelulusan lesen pembalakan di kawasan itu.

Katanya, pihak berwajib perlu menjelaskan kepada masyarakat mengapa kawasan hutan simpan boleh diluluskan untuk aktiviti pembalakan.

“Persoalannya siapa yang luluskan projek ini, kenapa mereka tidak tahu tindakan ini adalah salah.

“Kenapa dan bagaimana proses ini diluluskan pada awalnya. Mereka mesti bertanggungjawab,” katanya.

Wong Tack turut berkata, isu tersebut turut dipanjangkan ke pengetahuan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, Tuan Ibrahim telah memberikan respon yang baik.

“Dia sedar apa yang berlaku di sini dan saya pun telah bagi tahu dia bukan di sini sahaja yang berlaku seperti ini, ada yang lebih besar sedang berlaku di Bentong.

“Contohnya di Sungai Kenoi, satu sungai yang salurkan air kepada lebih 50,000 rakyat,” katanya lagi.

Young Syefura Othman atau Rara pula berkata isu ini pernah terjadi di Janda Baik, dua tahun lalu.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu merosakkan alam sekitar dan memberi kesan kepada pelancongan di sekitar Pahang.

“Apa yang saya lihat kontraktor itu ambil jalan mudah dengan tolak sahaja jalan untuk ke sana. Walaupun diberikan lesen sepatutnya dia ikut peraturan yang ditetapkan untuk buka jalan.

“Mereka langsung bersikap tidak tanggungjawab apabila membuat kerja seperti ini dengan secara langsung merosakkan sungai yang ada disitu dan keadaan sungai itu amat berbeza dibahagian atas dan di bawah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.