KUALA LUMPUR – Luno, penyedia perkhidmatan pertukaran aset digital pertama yang diluluskan dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan deposit segera dalam talian melalui Pertukaran Proses Kewangan (FPX) menerusi Ambank, rakan perbankan pilihan syarikat berkenaan.

Menerusi ciri pemindahan baharu ini, pengguna Luno mempunyai pilihan untuk mendeposit wang segera ke dalam akaun Luno mereka dan membeli mata wang kripto pilihan masing-masing.

Mula ditawarkan sejak 6 Oktober lalu, Luno telah memproses lebih daripada RM10 juta menerusi FPX.

Melalui deposit segera FPX, pengguna kini boleh membeli Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH), Ripple (XRP) dan Litecoin (LTC) di dalam Luno secara lancar.

Luno berkata, pengguna boleh mendeposit dan membeli aset digital tanpa sebarang kerumitan menerusi pemindahan bank dan lain-lain transaksi.

Aplikasi mudah alih Luno mempunyai pilihan pembelian segera yang membolehkan pelanggan membeli, menjual dan menyimpan mata wang kripto seperti BTC, ETH, XRP dan LTC dengan cara yang mudah.

Menerusi aplikasi sama, pedagang-pedagang yang lebih berpengalaman boleh menggunakan ciri buku tempahan pertukaran untuk berdagang mata wang kripto.

Selain daripada itu, kandungan pendidikan umum mengenai mata wang kripto juga boleh didapati melalui aplikasi mudah alih berkenaan dan portal pembelajaran dalam talian.

Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata, terdapat peningkatan minat di Malaysia untuk menerokai mata wang kripto sebagai salah satu bentuk pelaburan.

”Jika dulu ia hanya menarik minat golongan belia yang celik teknologi, kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan mereka yang mencari pelaburan alternatif,” katanya.

Tambah beliau,kerjasama dengan AmBank adalah amat penting bagi Luno kerana menerusi FPX, pelanggan kami boleh membeli aset digital dengan cara yang lebih pantas dan mudah. – MalaysiaGazette