Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan dua kluster diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Embun dan Kluster Bah Tanjung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes kematian yang dilaporkan daripada kluster tersebut.

“Ia melibatkan Kluster Embon di Selangor di mana sehingga hari ini seramai 247 orang telah disaring dan tujuh kes dikesan positif Covid-19 serta kadar positiviti bagi kluster ini adalah 2.83 peratus.

“Kluster kedua adalah Bah Tanjung Terengganu dan sehingga hari ini, seramai 230 orang telah disaring di mana lapan kes dikesan positif serta kadar positiviti bagi kluster ini adalah 3.48 peratus,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu, terdapat enam kluster baharu dikenal pasti pada hari ini melibatkan empat negeri.

Katanya, ia melibatkan Kluster Penjara Sandakan di Sandakan, Sabah dan Kluster Dialisis yang turut melibatkan Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.

“Kluster baharu ketiga melibatkan Kota Kinabalu di Sabah dan Kluster Aero pula melibatkan daerah Petaling di Selangor.

“Kluster kelima adalah Kluster Lengkuk melibatkan daerah Sepang di negeri Selangor dan daerah Seremban, Port Dickson serta Rembau

“Kluster keenam iaitu Kluster Gading baharu melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan daerah Seremban di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette