Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Cukai durian runtuh bagi sektor sarung tangan sukar dilaksanakan di negara ini dan sekiranya ia diumumkan dalam Belanjawan 2021 Jumaat ini, kutipannya dijangka dilakukan secara one-off sahaja.

CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya berkata, cukai tersebut sukar dilaksanakan kerana harga sarung tangan adalah berbeza-beza.

Penetapan harga sarung tangan adalah berdasarkan jenis, spesifikasi, gred produk dan sasaran pasaran, jelasnya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya cukai tersebut tetap dilaksanakan di Malaysia, ia tidak mempunyai implikasi negatif kepada sektor sarung tangan terutamanya dalam jangka masa panjang.

Namun sekiranya cukai durian runtuh dilaksanakan, firma penyelidikan itu percaya para pengeluar sarung getah akan memilih untuk meluaskan operasi mereka ke luar negara.

Ini akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan disebabkan oleh kemerosotan pelaburan masa hadapan serta limpahan manfaat daripada sektor berkenaan.

“Bagi tujuan ilustrasi, kami telah menjalankan satu analisis sensitivity terhadap potensi impak sekiranya kadar cukai korporat dinaikkan.

“Kami mendapati sekiranya cukai korporat meningkat sebanyak lima peratus, keuntungan bersih sektor sarung tangan akan berkurangan sebanyak 6.5 peratus.

“Langkah tersebut membolehkan kerajaan mengutip cukai tambahan sebanyak RM593 juta bagi tahun 2020.

“Berdasarkan anggaran kami, syarikat-syarikat sarung tangan sudah membayar keseluruhan cukai pendapatan korporat sebanyak RM2.8 bilion dan RM4.7 bilion pada 2020 dan 2021,” katanya.

Kebelakangan ini terdapat kebimbangan yang kerajaan akan mengenakan cukai durian runtuh kepada syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan bagi meningkatkan pendapatan negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Industri sarung tangan menerima keuntungan luar biasa disebabkan lonjakan permintaan semasa penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette