Pemilik Restoran Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah (tiga kiri) diiringi Setiausaha Agung MAPIM, Zul Hanis Zainol (tengah) dan Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi pihak Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Noradzilah Norodin (dua kanan) bergambar bersama penyejuk udara untuk barisan hadapan pada Majlis Penyerahan Makanan Kepada Penduduk di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

KAJANG – Memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terpanggil untuk menyalurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliner) disini.

Dua mesin penyejuk udara (air cooler) menjadi keutamaan MAPIM untuk disumbangkan kepada para petugas barisan hadapan sesuai dengan cabaran tugas di lapangan.

“Setelah kita salurkan banyak makanan, hari ini kita nak menyantuni frontliner jadi kita hulurkan bantuan penyejuk udara. Kita tahu dengan cuaca yang begitu terik, jadi kita nak beri keselesaan kepada mereka untuk digunakan oleh frontliner yang berkhidmat di PKPD ini,” kata Setiausaha Agung MAPIM, Zul Hanis Zainol.

Setiausaha Agung MAPIM, Zul Hanis Zainol bercakap selepas Majlis Penyerahan Makanan Kepada Penduduk di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

Jelas Zul Hanis, sumbangan turut disalurkan kepada semua pusat PKPD di seluruh negara.

Selain fasiliti kepada frontliner, rangkaian Restoran Cina Muslim, Mohd Chan hari ini turut menyumbangkan 300 pek makanan panas kepada penduduk yang terkesan dengan PKPD.

Sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Mohd Fadzil Ng bercakap selepas Majlis Penyerahan Makanan Kepada Penduduk di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

Hadir menyerahkan sumbangan adalah pemilik Restoran Mohd Chan sendiri, Datuk Mohd Chan Abdullah.

“Apa yang kami salurkan hari ini adalah hasil daripada sumbangan orang ramai untuk diagihkan.

“Sebahagian daripada peroleh daripada rangkaian restoran Mohd Chan akan diagihkan kepada Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan (PKMC) dan kami akan salurkan kepada orang ramai,” kata sukarelawan PKMC, Mohd Fadzil Ng.

Kesemua sumbangan diterima Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi pihak Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Noradzilah Nordin.

Sebahagian penduduk mengambil makanan yang disumbangkan oleh Pemilik Restoran Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah pada Majlis Penyerahan Makanan Kepada Penduduk di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

Untuk rekod, Plaza Hentian Kajang dikenakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula 28 Oktober lalu dan akan berakhir 10 November ini.

Seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan itu.

PKPD di kawasan ini dilaksana ekoran terdapat 63 kes positif Covid-19 dilaporkan sehingga menjadi kluster Hentian. – MalaysiaGazette