Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih rendah apabila setiap hari ratusan orang ditahan kerana ingkar dengan arahan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai diingatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga serta tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa sahaja dalam mematuhi SOP.

Tambahnya, semalam seramai 382 individu telah ditahan kerana ingar arahan PKP yang mana 364 telah dikompaun manakala 18 individu lagi direman.

Seperti biasa, kesalahan tertinggi adalah tidak memakai pelitup muka di kawasan sesak (136), premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (66), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (58), aktiviti pusat hiburan (42), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (22) dan lain-lain (58)

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya semasa sidang media hariannya hari ini.

Di bawah Operasi Benteng pula, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup dan dua tekong telah berjaya ditahan semalam.

Turut dirampas adalah 10 buah kenderaan darat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa Covid-19, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang berkuatkuasa 6 November sehingga 19 November ini.

“Sehingga 3 November 2020, sebanyak 35 kes positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu telah direkodkan di mukim ini,” katanya lagi.

Manakala di Sabah pula, kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PPR Taman Harmoni, Sandakan ditamatkan mengikut jadual iaitu esok.

Ini selepas KKM mengesahkan tiada kes positif baharu direkodkan di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette