Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021, esok hanya akan diadakan di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen.

Beliau berkata ahli-ahli Jemaah Menteri akan dibenar untuk membuat sidang media mereka terlebih dahulu diikuti ahli backbenchers.

“Disebabkan COVID-19 ini, pemberita dihalang daripada memberhentikan ahli-ahli yang berhormat untuk menemuramah di tepi lorong dan sebagainya. Jadi kita buat sidang media itu di satu tempat sahaja,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 esok dan sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat selepas itu, kehadiran Ahli Parlimen di dalam dewan dihadkan hanya 80 orang pada satu-satu masa dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas.

Ketika menjelaskan pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai pecahan pembahagian Ahli Parlimen iaitu 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas, Azhar berkata ia adalah keputusan konsensus daripada semua ketua Whip bagi mencerminkan majoriti di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya terdapat cadangan hanya dua Ahli Parlimen daripada setiap parti untuk hadir tetapi saya yang fight (bertegas) untuk 100 orang dan kemudian setelah dibincangkan keputusan konsensus semua Ketua Whip adalah mengehadkan kepada 80 Ahli Parlimen.

“Pecahan Ahli Parlimen ini semasa kehadiran dan perbahasan sahaja. Kalau ditakdirkan ada undi belah bahagian maka kita setuju untuk bunyikan loceng selama dua minit dan tempohkan untuk 10 minit dan bunyikan semula loceng selama dua minit supaya semua Ahli Parlimen dapat masuk ke dewan dan mengundi, jadi tidak ada pembohongan dan penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar menasihatkan semua Ahli Parlimen yang tiada keperluan mendesak supaya kekal di Kuala Lumpur memandangkan kes penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara.

Katanya nasihat sama turut disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini adalah demi kebaikan dan kemaslahatan semua pihak agar kita sama-sama terhindar daripada wabak yang membawa maut ini, …boleh balik (ke kawasan masing-masing) kalau ada keperluan, tetapi ikut SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Menjelaskan pertanyaan Datuk Dr A Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) berhubung keputusan Parlimen memilih media tertentu sahaja untuk membuat liputan persidangan Dewan Rakyat, Azhar berkata, ia bagi memastikan terdapat penjarakan fizikal di bilik media.

Selain RTM dan BERNAMA yang juga media rasmi, pihak Ketua Pentadbir Parlimen membuat keputusan dengan memilih media yang dibenarkan membuat liputan mengikut budi bicara mereka.

Persidangan dewan bersambung esok untuk pembentangan Belanjawan 2021. – BERNAMA