Majlis penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabung Sedunia.

KUALA LUMPUR – Bulan Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2020 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berakhir pada 31 Oktober lalu mencatatkan kejayaan dengan jumlah simpanan sebanyak RM150.4 juta.

Ini menunjukan masyarakat Malaysia mempunyai kesedaran dan keutamaan untuk membuat simpanan terutamanya bagi pendidikan demi masa depan anak-anak.

Program ini telah berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Oktober 2020 secara dalam talian melalui platform FB Rasmi PTPTNOfficial.

Melalui program ini, PTPTN mensasarkan RM110 juta jumlah simpanan dan telah berjaya mencapai 136.73% berbanding yang disasarkan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada masyarakat Malaysia yang telah memulakan langkah bijak dan terbaik membuat penabungan di dalam SSPN bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak.

“Bulan Menabung SSPN 2020 ini dilihat telah berjaya meningkatkan budaya menabung masyarakat Malaysia,” katanya.

Wan Saiful Wan Jan

Menurut beliau, peningkatan jumlah simpanan dalam tempoh yang sama berbanding tahun lepas jelas menunjukkan bahawa semakin ramai ibu bapa yang telah mula sedar tentang kepentingan membuat penabungan dan perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak.

“Itulah istimewanya intsrumen simpanan SSPN ini yang mampu membentuk ‘nation building,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, semenjak tahun 2004, PTPTN telah memulakan langkah untuk memperkasakan penabungan bagi tujuan pendidikan untuk masyarakat Malaysia melalui SSPN.

Ahmad Dasuki Abdul Majid

Skim tersebut, katanya, merupakan pelan simpanan pendidikan terbaik yang diwujudkan oleh kerajaan melalui PTPTN untuk membantu perancangan kewangan dan mempunyai banyak keistimewaan yang disediakan kepada pendeposit.”

“Masyarakat Malaysia digalakkan untuk terus membuat simpanan melalui SSPN walau pun ketika negara dilanda ujian dengan pandemik Covid-19 memandangkan simpanan ini menawarkan pelbagai keistimewaan berganda kepada pendeposit.

“Pembukaan atau penambahan akaun SSPN boleh dibuat melalui pelbagai saluran yang lebih mudah, cepat dan selamat secara dalam talian (online) melalui www.lovesspn.com atau saluran-saluran perbankan internet yang telah disediakan,” tambahnya lagi.

Tahun 2020 ini merupakan tahun ketiga PTPTN menganjurkan Bulan Menabung SSPN bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Pada tahun 2018 dan 2019, PTPTN mengadakan Minggu Menabung SSPN di pusat beli belah selama tiga hari berturut-turut di seluruh Malaysia.

Namun penularan Covid-19 yang di Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia menyebab PTPTN menggunakan pendekatan sedikit berbeza untuk melahirkan Bulan Menabung SSPN dengan mengadakan program dan aktiviti mengikut norma baharu.

Pengisian program Bulan Menabung SSPN 2020 yang dilaksanakan secara dalam talian menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’.

PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk terus menabung di dalam SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman semata-mata.

PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan untuk menjadikan PTPTN sebagai ‘Tabung Pendidikan’ dan mencapai sasaran deposit sebanyak RM1.5 bilion pada tahun 2020. – MalaysiaGazette